Monday, June 27, 2011

Cerita Tentang Dua Orang Gadis

Demons were like genies or philosophy professors — if you didn't word things exactly right, they delighted in giving you absolutely accurate and completely misleading answers. -  Wyrd Sisters (1989), Discworld.


Seorang lelaki, duduk diatas kerusi yang berukiran dari kayu. Berada didalam dewan yang agak luas. Dia, bermata biru, jernih, mungkin berada diawal lingkungan 20an. Ini adalah berbeza sekali dengan usia sebenar dia. Mungkin berbelas ribu tahun, atau mungkin usia itu sendiri bukan kayu pengukur.
Semua orang mahu kelihatan kacak dan segak, walau sudah berusia ribuan tahun. (Kecuali jika kau dari golongan ghoul. Mereka tak perlu jadi segak.Cukup dengan beberapa medal untuk disangkut pada baju. Cukup membangga diri. Ifrah selalu pesan, 'Hati-hati dengan bangsa yang membangga diri.(Mereka) selalu ada muslihat tersembunyi' )

Si Kacak yang tiada dalam buku sejarah.
Dia telah berada disini untuk satu tempoh masa yang amat lama. Lebih lama dari apa yang terdapat didalam buku-buku sejarah.Sebenarnya, tidak pernah diperkatakan apatah lagi namanya muncul dalam mana-mana makalah atau jurnal sejarah. Cleopatra pernah cuba cari bahan mengenainya dan disimpan kemas dalam perpustakaan di Alexandria, hanya untuk melihat semua koleksi bukunya dibakar oleh orang suruhan lelaki ini.
Lelaki tersebut, sambil menghisap curut, kaki bersilang dan agak santai. Pakaiannya ringkas. Hanya ber tshirt ‘Led Zep’ ,berseluar jeans lusuh dan sepasang Chuck Taylor’s warna merah. Lebih 'grunge', katanya.
Tak macam rupa orang yang berkuasa ( yang biasanya gah dalam berpakaian.Cuma perlu jadi kacak sahaja)
“Kau sedar apa yang sedang berlaku sekarang?”
Dihadapannya, ada seorang tua yang sedang melutut. Tunduk dan ketakutan. Agak menggigil sedikit dek kerana kepanasan dalam dewan
(*Lelaki itu sengaja mematikan alat pendingin dewan ini. ’Buat apa perlu bazir jika hanya berdua dalam dewan yang sebegini besar?’.Dia takut dikatakan ada hubungan dengan Luc, keturunan yang suka membazir. Ini akan menyebabkan orang lain memandangnya sebagai 'ambil kesempatan atas hubungan kekeluargaan' dengan Luc.)
“Iya, aku faham dan mengerti..” kata Ifrah. Perlahan tanpa memandang kearah pemuda itu.
“Untuk seribu tahun mendatang, aku sendiri tak pasti yang kau sendiri faham tentang keadaan kini” terang pemuda itu melafazkan kata-kata. Berbisa, bagai panahan yang terus kearah mata Ifrah.
“Jangan terlalu leka sangat.Aku serik untuk kehilangan ramai ‘askar’ yang bagus-bagus”.
 “Iya, aku mengerti wahai Putera Yang Agong..tapi..”
Pemuda berkenaan, Putera Yang Agong, bangun dari kerusinya dan berjalan menghala ke Ifrah.
Dihembusnya asap busuk dari curut seraya mencengkam tengkuk Ifrah.
“Ifrah, aku mungkin tak sehebat tuanmu yang lepas-lepas tapi aku bukan dungu. Jangan pergunakan kebebasan yang kuberikan untuk tujuan yang bodoh!”
Terangkat sedikit tubuh Ifrah, kesakitan akibat dari cengkaman kuat Putera Yang Agong
Putera Yang Agong tahu keadaan sebenar. Benda ini memang akan terjadi, cuma dia tak pasti sebegini cepat akan berlaku.
 “Kita disini adalah untuk menyesatkan, dan bukan untuk berada bersama-sama mereka meraikan kegelapan!” Berulang kali Putera Yang Agong memberi amaran pada semua pengikut utamanya.
“Ingat, jaga sebaiknya orang dibawah kau.Buat seperti apa yang disuruh..!”
“Tapi , wahai Putera Yang Agong..dia telah hadir untuk menganggu urusan kami” terpaksa juga Ifrah bersuara secara lantang.
“Urusan dia, adalah sesuatu yang wajib.Aku tiada kuasa untuk menghalang ketentuan. Jadi, uruskan sebaiknya. Jika perlu dihapuskan, maka bikin elok-elok.”
“Sudah! Berambus kau dari sini!” seraya dengan itu, Ifrah hanya terkebil-kebil memandang.
'Sekarang ke? janji tadi ajak jumpa untuk pergi makan' dalam hati Ifrah berkata-kata.
'Tak jadi.Aku ada hal' tanpa perlu berkata-kata, Putera Yang Agong hanya jegilkan mata kearah Ifrah.
'aa..tapi..' mata Ifrah melirik lapar.
Putera Yang Agong jegilkan mata lagi. Kali ini lebih tepat dan 'angker'.
Ifrah secara tiba-tiba hilang dari pandangan. Hanya tinggal asap-asap dari curut yang dihisapnya sahaja.
Dia toleh kebelakang.
Puff puff puff...
'Iya, Tuan panggey kami?tuan?..'
'Aku ada tugasan untuk kamu berdua'
Puff puff puff...
'Iya..iya..kami akan urushkan sebagush bagushnya, tuan?'
'Err..Janggo, Rambuu..'

Puff puff puff...
'Iya, tuan?ada apa lagi tuan?tuan?'
'Lain kali jangan makan telur rebus banyak sangat, ya?'
'Nasib baik aku tak buka alat penghawa dingin...mau pekung' bisik Putera Yang Agong, sendirian.
****************************************************************
Cerita dibawah berlaku beratus tahun dahulu. Benda sudah jadi, tak boleh nak ubah-ubah lagi.
Pada suatu hari, Ifrah telah memanggil dua ‘orang suruhannya’ untuk satu perjumpaan tergempar.
Ifrah, Ankh dan Khorrgh duduk di dalam bilik yang amat sempit.
‘Mahu berbincang’ kata Ifrah.
“Mana yang lain?” tanya Khorrgh.
“Mati diseksa oleh Anubis” balas Ankh
“Kenapa?”
“Mereka meninggalkan najis dimerata-rata tempat. Termasuklah dalam kuil milik Anubis”
“Laaa...” kesal Khorrgh
Ifrah pandang tepat pada mereka berdua. Berdehem kuat.
“Ini adalah tugasan terkini kita. Tak lama lagi kita harus berada ditempat yang amat jauh dari empayar ini.Tempat baru, yang menjanjikan sedikit ruang bebas untuk kamu semua bergerak tanpa rasa takut.” Kata Ifrah.
Ankh dan Khorrgh berjengket-jengket dalam kesesakkan bilik mengangguk bodoh.Berposak-posak mereka bertiga didalam bilik yang amat sempit dan busuk ini. Bahu berlaga bahu.
“Aku sudah membincangkan dengan Putera Yang Agong, dimana dia telah sudi untuk membenarkan kita keluar dari negeri ini secepat mungkin.”
 “Apa tugasannya?” Tanya Khorrgh.
“Benda biasa. Tetap pada misi untuk menyesatkan. Cuma kita akan berpangkalan dari sana.”
Ifrah tersenyum sambil menerangkan kepada Ankh dan Khorrgh secara lengkap. Si tua licik ini telah diberikan kebebasan oleh Putera Yang Agong untuk menentukan sendiri hala tuju mereka, dengan syarat dia akan patuh pada perintah atau misi yang akan diberikan kepadanya pada bila-bila masa.
“Kami setuju untuk mengikutmu , Ifrah” kata Ankh (mengampu)
“Jadi, perjumpaan ini boleh tamat sekarang?” Sambungnya lagi.
Ifrah balas dengan senyuman.” Baiklah, pertemuan tamat buat masa ini. Kamu harus bersedia. Ayuh, keluar dari bilik ini. ”

Tak tertahan rasanya bila berhimpit dalam bilik nan kecil ini. Ditengah-tengahnya ada lubang kecil yang amat busuk.Macam bau najis. Seorang demi seorang keluar dari jamban yang sempit itu. Mula-mula Ankh kemudian Khorrgh dan disusuli oleh Ifrah.
“Aku tak faham kadang-kala mengenai orang tua celaka ini..” rungut Ankh.
“Aku boleh tempah satu ruang yang luas dalam Piramid Giza, tapi dalam jamban busuk juga dia mahu bikin mesyuarat”
Ifrah pada zaman itu, kurang cerdiknya. Boleh jadi dek kerana konspirasi minda yang digerakkan oleh beberapa orang dewa-dewi Sungai Nil.
*Luc pernah pesan;
‘Sesekali bergurau dengan Ifrah, tak mengapa.Tapi jangan sampai dia mati beragan’
 
*****************************************
Nero, duduk diatas katilnya.Tangannya mencengkam kuat tilam. Matanya merah menyala. Penuh dendam.
“Kejahatan yang bakal kubalas dengan seksaan pada kamu semua!”
Kau takkan berubah, Khorrgh..
Dia merenung kearah katilnya, sekujur tubuh gadis yang masih berpakaian lengkap. Terbaring tapi masih bernyawa. Mata tertutup, mulut terbuka mencari-cari udara.
*****************************************
Petang yang suram. Sejuk, angin bertiup kencang. Baru lepas hujan. Dua orang sahabat berjalan kearah Al-sibat.
Janggo dan Rambuu.
Mereka adalah ghoul (bersara) yang pernah berkhidmat dengan Luc semasa perang dahulu. Mendapat banyak medal diatas ketangkasan dan keberanian mereka (medal-medal tersemat kemas pada baju yang mereka pakai) . Kini, mereka hanya menghabiskan sisa-sisa hidup dengan mengembara disekitar semenanjung ini. Tak lama sangat pengembaraan mereka , sebab tiga bulan sekali, Janggo dan Rambuu pasti akan singgah untuk melawat Al-sibat.
‘Ceritakan pada aku apa sahaja yang menarik’ kata Al-sibat yang kebosanan.
‘Aaa..fhasal dhua orhang gadish yang cedang ulangkaji’
‘Apa sahaja. Ceritakan.’
Janggo dan Rambuu duduk ditepi jambatan, menghadap Al-sibat, lalu bercerita.
Pada suatu malam yang sunyi, berkebetulan pada malam Jumaat. Ada dua orang gadis sedang menelaah didalam bilik tidur kolej kediaman. Peperiksaan sudah makin hampir, maka berjaga malam adalah keperluan bagi mereka.
Langit sungguh malap tanpa bantuan bintang dan sinaran bulan. Meja belajar mereka menghadap tingkap yang dibuka seluas-luasnya.
Mudah untuk udara segar menemani mereka mengulangkaji pelajaran. Selang dua jam mereka sibuk mengulangkaji, tiba-tiba Hairani (gadis pertama, disebelah kiri jika menghadap tingkap) menghulurkan satu nota pendek yang dilipat kepada rakan sebelah (satu-satunya rakan yang ada didalam bilik berkenaan).
Lenny menyambut nota kecil dari tangan Hairani dengan sedikit kehairanan. Pelik, kalau mahu bercakap, keluarkan sahaja suara. ’Bikin nota pula’..
Lenny buka simpulan nota kecil itu dan dibacanya, perlahan. Lenny tarik nafas panjang seraya memandang terus keluar tingkap.
Lantas Lenny koyak sedikit kertas dibuku notanya. Tulis halus-halus dan dilipat kecil-kecil. Lenny menyiku lengan Hairani sambil menghulurkan nota balasan.
Hairani buka lipatan kecil kertas itu, dan membacanya, juga perlahan.
Suasana diam seketika, Hairani ambil keputusan untuk membalas kembali nota kepada Lenny. Siku mereka bertemu. Berpeluh walau dengan angin yang bertiupan dari luar tingkap.
Kali ini Hairani hanya menolak perlahan lipatan kertas yang ditulisnya kepada Lenny. Tolak perlahan-lahan hingga Lenny menyedarinya.
Lenny perasan, Hairani cuba menolak secebis kertas padanya. Peluh kelihatan membasahi jemarian Hairani.
Lenny cepat-cepat genggam tangan Hairani. Tangan kanan Lenny mencapai perlahan kertas dari Hairani, tanpa perlu dilepaskan. Lenny tulis perlahan, mengeletar pada kertas itu. Hairani perhatikan apa yang ditulis oleh Lenny. Hairani diam, tapi angguk.
Langsung Lenny tak lepaskan genggaman pada tangan Hairani. Dipegangnya erat dan mereka bangun perlahan menuju kearah katil Hairani, yang kini memeluk erat pinggang Lenny.
Lenny baringkan Hairani dan kemudiannya menarik selimut agar menutup keseluruhan tubuh mereka, dari kaki hingga ke ubun rambut.
Diatas meja, hanya ada tinggalan buku-buku ulangkaji dan cebisan nota pertukaran diantara keduanya.
Bersepah atas meja.
Kandungan didalam cebisan-cebisan  nota kecil berkenaan adalah seperti berikut:-
1.Kau nampak apa yang aku nampak? (Dari Hairani)
2.Aku rasa aku nampak apa yang kau nampak. (Dari Lenny)
3.Jom gi tidur?Katil aku.(Dari Hairani)
4.Okay.( Yang terakhir dari Lenny)
Diluar tingkap, angin bertiup manja dan suasana yang sungguh gelap.Ada padang rugbi dihadapan bilik ini sebenarnya. Kalau belah petang, boleh ‘study’ sambil lihat-lihat pelajar lelaki yang sasa bermain rugbi.
Cuma malam ini, tiada yang bermain diatas padang.’Mereka main tinggi sedikit malam ini’.
Ada tiga ketul bola api berlegar-legar diatas padang rugbi, malam ini.
Al-sibat ketawa terbahak-bahak. Golongan bola api memang selalu 'bikin panas'. Tak, mereka tak ganggu orang, cuma yalah..selalu 'bikin panas'

'Okay, sekarang apa tujuan kamu berdua kali ini?' Al-sibat tanya kepada Janggo dan Rambuu.

**********************************************

No comments:

Post a Comment